KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, walaupun mata wang AS kekal disokong oleh jangkaan kenaikan kadar faedah AS.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0835/0895 berbanding dolar AS daripada paras 4.0845/0890 ketika ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks dolar AS (DXY) meningkat 0.23 peratus kepada 102.167 mata, mencerminkan pengukuhan mata wang dolar AS.
"Justeru, ringgit berkemungkinan kekal dalam julat dagangan yang sempit," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, dolar AS turut mengukuh susulan peningkatan permintaan terhadap mata wang itu, dengan sebahagian pelabur beralih kepada aset yang lebih selamat dalam persekitaran ketidaktentuan global.








