BATU PAHAT: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas tuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kemalangan.

Kejadian itu tular di media sosial apabila tertuduh Muhammad Arif Nokaiah Abdullah, 38, yang memandu kereta didakwa memotong dan menyelit antara kenderaan lori serta pacuan empat roda.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta Volkswagen Passat secara melulu dan membahayakan orang awam di Kilometer 91.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), berhampiran Ayer Hitam, pada jam 5.30 petang, 1 Oktober lalu.