Alor Gajah: Keluarga Datuk Seri Najib Razak sudah membuat persiapan untuk menyambut kepulangannya Jumaat lalu, namun harapan itu tidak kesampaian apabila beliau masih berada di Penjara Kajang.

Anak perempuannya, Nooryana Najwa, berkata seluruh ahli keluarga amat kecewa kerana persiapan sudah dilakukan, namun sehingga kini mereka masih menunggu perkembangan terkini daripada pihak berkuasa berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.

"Keluarga saya semestinya amat kecewa. Kita sudah membuat persediaan untuk menyambut kepulangan ayahanda, Jumaat lalu tetapi malangnya, harapan itu belum dapat direalisasikan lagi.

"Sekarang ini Datuk Seri Najib masih berada di Penjara Kajang dan kami masih menunggu perkembangan terkini daripada pihak berkuasa," katanya ketika ditemui ketika membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya di FELDA Tun Ghafar Baba Hutan Percha, di sini, hari ini.