PETALING JAYA: Pemain tengah skuad kebangsaan, Safawi Rasid mahu memastikan kehadirannya kali ini mampu memberi impak positif buat skuad kebangsaan kendalian jurulatih sementara, Tan Cheng Hoe.

Safawi adalah antara 24 pemain yang mendapat kepercayaan Cheng Hoe untuk menggalas cabaran negara dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yaman pada 14 dan 17 November ini.

Sehubungan itu, Safawi bertekad mengembalikan semula sentuhan berbisa serta pengaruhnya di padang, sekali gus membalas kepercayaaan barisan kejurulatihan yang memanggilnya kembali menyarung jersi kebangsaan.

Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu juga meletakkan sepenuh kudrat untuk membantu Harimau Malaya mencapai keputusan positif sekali gus memanfaatkan peluang ini untuk mengembalikan prestasi terbaiknya di peringkat antarabangsa.