DAKAR – Sekurang-kurangnya 35 orang maut selepas sebuah bot kecil sarat membawa pendatang tanpa izin (PATI) karam di barat laut Senegal, lapor saluran berita Gulf News.
Bot-bot PATI yang melalui laluan berbahaya menyeberangi Lautan Atlantik dari Afrika Barat menuju Kepulauan Canary milik Sepanyol sebelum ini meragut ribuan nyawa mereka yang terdesak untuk mencari kehidupan baharu.
Kenyataan awal Kementerian Dalam Negeri Senegal menyatakan, 21 mayat dan hanya seorang mangsa terselamat ditemui susulan kemalangan tersebut, namun angka korban bersifat sementara memandangkan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Lewat semalam, Agensi Berita Senegal (APS) melaporkan, angka korban mencecah sekurang-kurangnya 34 orang serta disahkan oleh badan bukan kerajaan, Tindakan untuk Hak Asasi Manusia dan Persahabatan (ADHA) dalam satu kenyataan kepada AFP.










