KAHERAH – Sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban, manakala lebih 112 cedera selepas dua kereta api bertembung berhampiran bandar Giza, Mesir, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Pihak Berkuasa Kereta Api Mesir mengesahkan kemalangan melibatkan dua kereta api yang menuju ke arah selatan dari Giza dan Kaherah, menyebabkan beberapa gerabak tergelincir dan terjatuh di kawasan cerun.

Imej di lokasi kejadian menunjukkan orang ramai berusaha menyelamatkan mangsa terperangkap di dalam gerabak yang terbalik ketika operasi menyelamat berskala besar dilancarkan.

Presiden Mesir, Abdul Fattah al-Sisi mengarahkan pihak berkuasa untuk ‘menyiasat punca kemalangan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati cuai’.