Kuala Lumpur: Kesemua tahanan warganegara Myanmar yang terlibat dalam Program Penghantaran Pulang Fasa Pertama di Lumut, Perak pada 29 Sept lalu, melalui proses saringan rapi dan verifikasi sebelum dihantar pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan proses menyeluruh itu merangkumi pengenalpastian dan pengesahan kewarganegaraan, dokumentasi, pemeriksaan kesihatan serta semakan identiti.

Menurut KDN, senarai nama setiap individu berkenaan disahkan oleh kerajaan Myanmar dan dikemukakan kepada Malaysia menerusi Nota Diplomatik bertarikh 13 Ogos lepas, sebelum disusuli dengan penyelarasan rapi dari aspek keselamatan, logistik serta urusan penerimaan di negara asal.