Melaka: Lebih 30,000 daripada kira-kira 60,000 pengundi muda di Melaka yang julung kali akan mengundi, sudah disantuni menerusi gerak kerja Sekolah Patriotik UMNO (SPU) dalam usaha Barisan Nasional (BN) mendekati golongan itu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 14 November ini.

Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Biro Latihan UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata SPU menggerakkan petugas terlatih ke semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendekati pengundi berusia 18 hingga 21 tahun menerusi pertemuan bersemuka dan panggilan telefon.

Katanya, setiap DUN di Melaka ditempatkan dua hingga tiga petugas bagi melaksanakan pendekatan itu, dengan SPU kini memasuki kumpulan kelima selepas peserta terbaharunya selesai menjalani latihan.