MELAKA: "Sepatutnya dah lama, tapi tak jadi lima tahun lalu. Jadi kali inilah kita kena pastikan kerjasama itu dapat dilakukan," kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyentuh kerjasama UMNO dan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 yang disifatkan sebagai medan menguji formula politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata, kerjasama itu bukan sekadar bertujuan memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rais Yasin, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, malah membawa matlamat lebih besar untuk menyatukan masyarakat Melayu.
Katanya, sekiranya persefahaman kedua-dua parti itu berjaya direalisasikan di Melaka, ia boleh dijadikan asas kepada kerjasama lebih luas pada PRU akan datang.









