Keningau: Lelaki yang tular di media sosial kerana sering mengamuk dan mengganggu ketenteraman awam ditahan polis di hadapan sebuah kedai kopi di daerah ini, semalam.

Lelaki tempatan berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Keningau pada 3.30 petang selepas polis menerima aduan orang awam berhubung tindakannya yang mengganggu aktiviti harian masyarakat.

Ketua Polis Daerah Keningau Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, suspek ditahan selepas tindakannya turut mendapat perhatian pengguna media sosial.

Katanya, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Keningau sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk pemeriksaan lanjut.