MELAKA: Usianya sudah mencapai 88 tahun namun itu bukan penghalang buat Vong Fook Hoi yang lebih dikenali sebagai Uncle Wong meredah hujan menemani Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkempen sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.
Uncle Wong meluangkan masa bersama calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi DUN itu, menyantuni peniaga dan pengunjung di Pasar Malam Seri Duyong, malam tadi.
Bagi Uncle Wong, sokongan kepada Mohd Noor Helmy kerana sudah mengenali wakil rakyat itu sejak lima tahun.
Katanya, sepanjang tempoh itu, beliau banyak menerima bantuan, selain mengakui Mohd Noor Helmy sentiasa mengambil berat mengenai keadaannya.










