LANGKAWI – Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) tiga orang kru vesel nelayan yang tenggelam di sini, petang semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima maklumat awal sebuah vesel dipercayai tenggelam di perairan Kuala Teriang, di sini, pada pukul 4.35 petang semalam.
Katanya, pemilik vesel dilaporkan gagal menghubungi bot miliknya tersebut sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Seorang kru, Basri Mohd. Nor, 47, berjaya diselamatkan oleh sebuah vesel nelayan tempatan yang berada berhampiran lokasi kejadian dan dipindahkan ke Bot Penyelamat 5 Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi di sektor berkenaan.









