LANGKAWI: Tiga nelayan termasuk seorang tekong masih hilang, manakala seorang lagi diselamatkan selepas bot nelayan dinaiki mereka dilaporkan karam di perairan Kuala Teriang, di sini, petang semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob, berkata empat nelayan terbabit dilaporkan gagal dihubungi sejak malam Ahad lalu.

Beliau berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima laporan daripada pemilik bot kira-kira jam 4.35 petang semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

"Bot terbabit kali terakhir dapat dihubungi pada jam 11.33 malam 8 November lalu ketika berada kira-kira lapan batu nautika ke barat Pulau Burau," katanya dalam kenyataan hari ini.