Beijing: Sebuah syarikat pemadanan jodoh di China menawarkan pemulangan penuh yuran keahlian kepada pengguna yang masih belum berkahwin selepas tiga tahun menggunakan perkhidmatannya, lapor South China Morning Post.
Liangpei AI (kecerdasan buatan) yang dilancarkan pada Julai lalu mengenakan yuran keahlian tahunan sebanyak 2,000 yuan (kira-kira RM1,222) dengan jaminan bayaran balik sepenuhnya sekiranya pengguna gagal mendirikan rumah tangga dalam tempoh tiga tahun.
Tawaran itu mencabar model perniagaan aplikasi temu janji konvensional, sedangkan pasaran temu janji dalam talian China mencecah 22.6 bilion yuan (kira-kira RM13.8 bilion) pada 2024 dengan kira-kira 280 juta pengguna.
Berbeza dengan aplikasi biasa yang membolehkan pengguna berhubung dengan beberapa individu serentak, Liangpei AI mengehadkan, setiap pengguna kepada satu padanan pada satu-satu masa.










