HARIMAU Malaya wajar berbangga dengan pencapaian mereka dalam Piala ASEAN FIFA 2026 selepas menamatkan kempen di tempat ketiga, namun pengendali interim, Tan Cheng Hoe mengingatkan skuad negara supaya tidak cepat berpuas hati.Kemenangan 1-0 ke atas Vietnam bukan sahaja menghadiahkan tempat ketiga, malah melengkapkan kempen dengan rekod terbaik apabila Malaysia menjaringkan 10 gol dalam empat perlawanan tanpa dibolosi.Namun, Cheng Hoe menegaskan pencapaian itu perlu dijadikan titik tolak untuk pasukan terus bekerja keras menghadapi cabaran lebih besar selepas ini."Kita kena bangga dengan apa yang kita capai. Pasukan kita mencipta rekod terbaik dengan empat perlawanan, menjaringkan 10 gol dan tidak dibolosi."Namun, kita perlu terus bekerja keras kerana kita tidak tahu apa yang menanti di hadapan dan kita perlu bersedia dari sekarang," katanya.Menurut Cheng Hoe, kekuatan utama skuad Harimau Malaya ketika ini adalah semangat kekitaan dan hubungan erat dalam kalangan pemain tanpa mengira status atau pengalaman."Kita nampak kekuatan pasukan adalah bonding mereka. Mereka saling menghormati antara satu sama lain."Sama ada pemain bertaraf bintang atau pemain yang mempunyai pengalaman, mereka membantu dan saling mengingatkan antara satu sama lain."Itu adalah rahsia besar pasukan ini," katanya.Dalam pada itu, Cheng Hoe turut memberikan penghargaan kepada seluruh staf kejurulatihan yang disifatkannya sebagai antara tunjang penting kejayaan pasukan sepanjang kejohanan."Saya perlu berterima kasih kepada staf kejurulatihan kerana mereka bekerja siang dan malam untuk memastikan semuanya berjalan lancar."Cabaran besar ada di depan mata kita. Kita perlu bekerja keras dan memastikan satu hari nanti kita berjaya di pentas yang lebih baik serta pergi lebih jauh lagi," katanya.