MENGIMBAU kembali era kegemilangan muzik rock kapak era 1990-an, penyanyi, Qody Rany tampil menyuntik nafas baharu terhadap karya malar segar bertajuk Biar Putih Tulang.

Lagu ikonik yang pernah memahat fenomena tersendiri menerusi kumpulan rock legenda Dinamik itu kini diterbitkan semula oleh syarikat rakaman New Southern Records (NSR).

Kemunculan versi terbaharu ini mengajak pendengar serta peminat tegar genre berkenaan menyelami kembali kenangan silam menerusi sentuhan susunan muzik yang lebih segar, namun tetap sarat dengan nilai sentimental.

Bagi Qody, projek rakaman semula ini bukan sekadar percubaan biasa atau sekadar mengejar trend semasa, sebaliknya lahir daripada minat yang cukup mendalam terhadap khazanah muzik rock kapak tanah air.