Memperkenalkan masakan Malaysia di negara orang bukan sekadar soal kemahiran memasak, sebaliknya turut menguji kreativiti apabila bahan utama sukar diperoleh. Itulah cabaran yang perlu ditempuh Cef Mohd. Shuhada Omar ketika membawa rendang daging dan sate Malaysia ke tujuh universiti di Amerika Syarikat (AS) menerusi program Global Chef selama 28 hari.
Berlangsung pada bulan Ramadan, tugasan itu menyaksikan beliau berdepan kesukaran mendapatkan bahan seperti daun pandan, daun kunyit dan lengkuas yang tidak tersedia di sesetengah lokasi.
Walaupun senarai menu sudah dihantar lebih awal kepada penganjur, beliau tetap perlu mencari alternatif termasuk mendapatkan bantuan untuk ke pasar Asia bagi mendapatkan bahan masakan yang diperlukan.








