Kuala Terengganu: Seramai tujuh pemain Terengganu FC (TFC) mendapat kepercayaan ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi dua aksi antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yaman bulan ini.

Pemilihan itu sekali gus menjadi pengiktirafan terhadap kualiti serta kemampuan pemain Sang Penyu untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu Darul Iman, Wan Mohd Hafizul Nik Anuar, berkata pemilihan tujuh pemain berkenaan membuktikan TFC memiliki barisan pemain berkualiti yang mampu menyumbang kepada kekuatan skuad kebangsaan.

"Pemilihan ini bukan sahaja mengiktiraf kemampuan individu pemain, malah membuktikan TFC memiliki pemain berpotensi untuk membantu Harimau Malaya," katanya.