KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan Malaysia menyokong tindakan ketenteraan China terhadap Taiwan.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan kekal berpegang kepada dasar Satu China dan penyelesaian secara aman yang diamalkan sejak 1974.
Beliau berkata, kenyataannya dalam wawancara bersama Al Jazeera sebelum ini tidak pernah membawa maksud Malaysia bersetuju sekiranya China menggunakan kekuatan ketenteraan terhadap Taiwan seperti didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
"Apakah saya kata setuju pasal itu China menyerang Taiwan? Saya kata tak, saya kata 'we support One China Policy'," katanya ketika menjawab soalan tambahan sewaktu sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.










