KUALA LUMPUR: Sumbangan seseorang kepada masyarakat tidak semestinya diukur menerusi populariti atau pengiktirafan, sebaliknya nilai sebenar terletak pada kesan positif yang mampu diberikan kepada kehidupan insan lain.

Usaha membantu golongan memerlukan, membimbing individu neurodivergen dan membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi antara contoh sumbangan yang mungkin tidak mendapat perhatian meluas, tetapi memberi makna besar kepada komuniti.

Menerusi kempen Sebut Namamu, Kumpulan KHIND mengetengahkan 65 kisah rakyat Malaysia sempena ulang tahun ke-65 syarikat itu bagi menghargai individu yang disifatkan sebagai Everyday Champions atau Juara Setiap Hari.

Kempen yang bermula pada Ogos lalu itu memberi pengiktirafan kepada mereka daripada pelbagai latar belakang, selain menggalakkan masyarakat lebih peka terhadap kebaikan yang dilakukan di sekeliling mereka.