PETALING JAYA: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan NS Corporation (NS Corp) bagi meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan penyelesaian bekalan air industri untuk taman perindustrian kendalian EcoWorld di Negeri Sembilan.

Kerjasama itu merangkumi Eco Business Park VII (EBP VII) serta taman perindustrian lain yang berpotensi dibangunkan EcoWorld di negeri berkenaan pada masa hadapan.

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi menilai potensi pembangunan loji rawatan air penyahgaraman sebagai sumber alternatif dan tambahan kepada bekalan air industri.

“Inisiatif berkenaan bertujuan mempercepat pembangunan infrastruktur air bagi memenuhi keperluan sektor perindustrian yang semakin berkembang, selain meningkatkan daya saing Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan pembuatan bernilai tinggi dan teknologi, termasuk pusat data,” katanya dalam kenyataan.