“Selama 17 tahun saya bertahan dalam perkahwinan yang penuh ‘toksik’ kerana tidak mahu anak-anak kehilangan susuk seorang bapa sepanjang mereka membesar.
“Makian dan sumpah seranah sudah menjadi ‘makanan harian’ yang saya perlu hadap, tetapi saya bertahan demi anak-anak. Akhirnya, setelah melihat anak sudah cukup dewasa, saya memutuskan untuk bercerai,” cerita Mimi (bukan nama sebenar) dalam nada sebak.
Wanita berasal dari Pahang itu memberitahu, sepanjang 17 tahun berkahwin, dia kehilangan kebebasan kerana setiap gerak geri dikawal oleh suaminya yang narsisistik, termasuk dalam perniagaan yang diusahakan bersama. Narsisistik bermaksud sifat atau kecenderungan seseorang yang terlalu mengagumi, mencintai, atau mementingkan diri sendiri secara berlebihan.










