Istanbul: Microsoft pada Khamis memaklumkan bahawa gangguan perkhidmatan Microsoft 365 di beberapa rantau berpunca daripada sejumlah pelayan yang tidak dapat berfungsi secara tiba-tiba, bukan peningkatan trafik pengguna.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, Microsoft 365 Status dalam kemas kini terbaharu menerusi platform X memaklumkan bahawa gangguan itu menyebabkan beban tambahan kepada infrastruktur yang masih beroperasi.

"Kami mendapati peningkatan beban itu bukan disebabkan pertambahan trafik, sebaliknya berpunca daripada sejumlah pelayan yang secara tiba-tiba tidak dapat berfungsi," menurut syarikat itu sambil menambah bahawa usaha sedang dijalankan untuk memulihkan operasi pelayan yang terjejas dengan selamat.