Klang: Lelaki yang disiasat berhubung kes penyamaran Pengawal Peribadi Sulit (ADC) Raja Muda Selangor, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menipu dalam urusan pembelian kenderaan lelong bernilai RM40,000 pada April lalu.

Tertuduh, Al Zulfadly Alias, 40, mengaku salah terhadap pertuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat, manakala seorang lagi tertuduh, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, yang didakwa bersama, mohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menipu seorang wanita berusia 43 tahun dengan memperdayakannya supaya mempercayai mereka boleh menguruskan pembelian kenderaan terpakai jenis Lexus RX350.

Kenderaan itu kononnya diperoleh menerusi lelongan sempena Sidang Kemuncak ASEAN, pada harga RM40,000.