PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan anggota keselamatan berhubung insiden seorang anggota polis yang diserang dan ditetak di Kepong, kelmarin.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut memaklumkan bahawa prosedur sedia ada membenarkan anggota polis mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan diri menjadi keutamaan ketika menjalankan sebarang operasi.
“Jemaah Menteri hari ini turut dimaklumkan bahawa pembedahan untuk menyambung semula tangan anggota polis terbabit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjaya dilakukan selepas mengambil masa tujuh jam.
“Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa pakar pembedahan di HKL telah berjaya melaksanakan tugas ini dan anggota polis tersebut telah menunjukkan perkembangan yang positif dengan keupayaan menggerakkan beberapa jari dari tangan yang terkesan.









