Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail berkata, kenyataan Presiden PAS Hadi Awang mengenai pemimpin bukan Islam 'amat dikesali'.KUALA LUMPUR: Agama sepatutnya menjadi asas penyatuan masyarakat, bukannya dijadikan sentimen untuk memecah-belahkan rakyat, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail.
Menurutnya, Islam tidak menjadi mulia dengan merendahkan agama lain, sebaliknya melalui keadilan, akhlak, ilmu, amanah dan contoh kepimpinan yang baik.
Beliau menegaskan, kekuatan orang Melayu dan umat Islam tidak akan terhakis hanya kerana menghormati hak kaum serta agama lain.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, kenyataan Presiden PAS Hadi Awang melabel pemimpin bukan Islam sebagai zalim amat dikesali kerana meletakkan ukuran keadilan dan kezaliman berdasarkan agama seseorang.









