SEREMBAN: Selepas kira-kira 24 jam melarikan diri daripada lokasi kemalangan maut, pemandu kereta bersama empat penumpang berjaya ditahan polis kerana disyaki menyebabkan kematian penunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman, berkata pihaknya menerima maklumat berlakunya kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 di Kilometer 9.7 arah Utara Lebuhraya Seremban- Port Dickson (SPDH) jam 5.40 pagi Ahad lalu.
"Siasatan awal mendapati sebuah kereta Proton Saga dipercayai melanggar motosikal mangsa sebelum bertindak melarikan diri.
"Akibat kemalangan ini, penunggang motosikal, seorang lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan, hari ini.









