PETALING JAYA – Seramai 687,697 pengundi berdaftar bakal menjadi penentu kepada percaturan politik dan kerajaan baharu Melaka apabila mereka turun ­mengundi hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 675,166 merupakan pengundi biasa, manakala 9,769 anggota tentera bersama pasangan dan 2,762 anggota polis yang telah turun mengundi awal pada 10 November lalu.

Pertarungan 28 kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) kali ini juga bukan sekadar menentukan gabungan yang bakal membentuk kerajaan negeri, sebaliknya menjadi medan menguji keberkesanan kerjasama antara parti-parti politik kepada undi sebenar di peti undi.

Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, Barisan Nasional (BN) masih berada pada kedudukan paling selesa untuk mendominasi PRN Melaka.