TAPAH – Penduduk Kampung Changkat Petai di sini, lega apabila jalan sepanjang empat kilometer yang gelap pada waktu malam hingga mendatangkan pelbagai masalah kini sudah terang selepas dipasang dengan 20 tiang lampu solar LED berkapasiti tinggi.

Ramli Salam, 77, berkata, masalah selama 70 tahun itu akhirnya selesai bulan lalu dan kini penduduk tidak perlu lagi risau terlanggar haiwan seperti lembu, anjing dan babi ketika melalui kawasan itu.

“Ada kemalangan yang me­ngakibatkan kematian kerana jalan itu agak gelap dan berbahaya terutama ketika hujan lebat dan angin kencang. Ia merupakan jalan utama bagi majoriti penduduk di Tapah, Teluk Intan dan Kampar.

“Di sini terdapat kira-kira 400 penduduk dan jalan itu digunakan oleh kakitangan dan pelajar universiti awam serta pekerja kilang,” katanya.