Alor Gajah: Teruja untuk menyertai proses demokrasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini, pasangan suami isteri Lew Chee Phin, 66, dan Tan Siw Choo, 62, sanggup hadir seawal 7 pagi ke pusat mengundi, biarpun proses pengundian hanya bermula pada 8 pagi.
Ditemui di luar pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Jeram di Masjid Tanah di sini, Lew berkata, dia dan isteri bangun seawal 5 pagi untuk melakukan persiapan keluar mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
"Dari malam tadi pun tidak lena tidur kerana teruja untuk mengundi, kami sangat seronok kerana ketiga-tiga anak kami juga pulang untuk bersama-sama menunaikan tanggungjawab mengundi," katanya.
Lew berkata, sudah menjadi rutinnya dan isteri, yang sudah mengundi pada lapan siri PRN, untuk sentiasa hadir awal ke pusat pengundian.









