APABILA isu halal dibincangkan di ruang awam, masyarakat mahukan dua perkara yang sama penting. Pengguna mahu membuat pilihan dengan yakin, sementara pengusaha mahu dinilai secara adil.

Kedua-duanya memerlukan maklumat jelas dan boleh disemak. Perkembangan semasa, termasuk langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempertingkatkan pemantauan penggunaan logo halal serta penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai produk tanpa logo, memberi ruang untuk memperkukuh kefahaman bersama.

Perbincangan ini boleh bermula dengan memahami fungsi pensijilan dan cara menggunakannya dalam kehidupan seharian.

Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) ialah mekanisme untuk mengesahkan pematuhan terhadap keperluan halal dalam skop pensijilan. Kehalalan pula bergantung pada pematuhan sebenar terhadap kehendak syarak.