KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan polis selepas penemuan sebuah beg bagasi mencurigakan di sebuah hentian bas di hadapan bangunan KLCC, Jalan Ampang di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung penemuan bagasi berkenaan pada pukul 7.17 malam.

Menurut beliau, susulan laporan itu, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik Polis Kuala Lumpur dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan UPB, Unit K9 dan Forensik Polis Kuala Lumpur telah hadir ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan dan mengesahkan tiada sebarang ancaman bom dalam bagasi tersebut.