KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan susulan penemuan bagasi mencurigakan di hentian bas di hadapan bangunan KLCC di Jalan Ampang, di sini, malam ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan beg berkenaan pada jam 7.17 malam.

Katanya, Unit Pemusnah Bom (UPB), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik Polis Kuala Lumpur dikerahkan ke lokasi dan mengesahkan tiada sebarang ancaman bom dalam bagasi itu.

"Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun untuk siasatan lanjut," katanya melalui kenyataan.