KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperketat pemantauan eksport komoditi utama seperti Indonesia bagi membendung amalan pengisytiharan invois rendah untuk mencegah ketirisan hasil kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan, berkata pendekatan negara jiran itu seharusnya mendorong Malaysia menilai semula keberkesanan sistem pemantauan eksport sedia ada.

Beliau berkata, walaupun Malaysia mempunyai pelbagai sistem elektronik dan agensi berkaitan, penyelarasan serta perkongsian data perlu diperkukuh bagi memastikan nilai dan kuantiti kargo yang diisytiharkan sepadan dengan penghantaran sebenar.

"Mempunyai sistem digital penting tetapi lebih utama ialah memastikan maklumat dapat disemak silang bagi menentukan sama ada kuantiti dan nilai yang diisytiharkan dalam dokumen sepadan dengan barangan sebenar yang dieksport," katanya dalam kenyataan.