KUALA LUMPUR: Samaiden Group Bhd (Samaiden) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Parkland Renewable Energy Sdn Bhd (Parkland) untuk mengadakan kerjasama meneroka projek tenaga boleh baharu (TBB) dengan jumlah kapasiti terpasang sehingga 1,000 megawatts arus ulang alik (MWac) di Semenanjung Malaysia.

MoU itu dimeterai antara anak syarikat milik penuh kumpulan itu, Samaiden Sdn Bhd (SSB) dan Parkland Renewable Energy, iaitu syarikat usaha sama 60 peratus milik Parkland Bhd dan 40 peratus oleh anak syarikat Xinyi Energy Holdings Ltd yang disenaraikan di Hong Kong.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, penyedia sistem TBB itu menyatakan bahawa projek tersebut akan dilaksanakan di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), yang membolehkan pengguna korporat mengakses kepada elektrik hijau melalui akses pihak ketiga ke grid elektrik kebangsaan.