PETALING JAYA – “Saya tegaskan bahawa amanah saya sebagai Perdana Menteri ialah membela setiap rakyat Malaysia.”

Demikian penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran terbaharu di Facebook rasmi beliau sebentar tadi.

Menurut Anwar, peranan membela nasib rakyat di negara ini perlu dilaksanakan tanpa mengira kaum dan agama, selaras dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Perlembagaan bukan sahaja menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak, malah menjamin hak setiap rakyat.