KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin kesinambungan kemajuan Melaka dapat diteruskan dengan lebih banyak peluang dibuka kepada rakyat di negeri itu, susulan pelantikan semula Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri.

Sambil mengucapkan tahniah, beliau berkata, kepercayaan diberikan rakyat membawa tanggungjawab besar untuk meneruskan segala usaha pembangunan yang sudah dibina, selain memperkukuh kestabilan negeri.

Katanya, setiap pembangunan juga perlu dipastikan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Melaka.

"Insya-Allah, saya yakin dengan pengalaman dan kepimpinan yang dimiliki, kesinambungan kemajuan Melaka dapat diteruskan dan lebih banyak peluang dapat dibuka untuk rakyat di seluruh negeri," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.