KUALA LUMPUR: Kenaikan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan dijangka menjadi pembakar semangat buat atlet karate negara untuk memburu sasaran sekurang-kurangnya enam pingat emas pada Sukan SEA 2027 di tanah air.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Wira Dr Nur Azmi Ahmad berkata, penambahbaikan itu bukan sahaja memberi pengiktirafan lebih adil kepada setiap anggota pasukan, malah mampu mendorong atlet memberi lebih tumpuan kepada acara berpasukan.
Beliau berkata, acara kata berpasukan memerlukan keseragaman dan disiplin tinggi daripada setiap atlet, sekali gus menjadikan sumbangan semua anggota penting dalam memburu kejayaan.
"Kata berpasukan menuntut keseragaman dan disiplin yang tinggi daripada setiap atlet. Langkah ini memastikan setiap ahli pasukan dihargai secara adil, dan ia tepat pada masanya ketika kita mensasarkan sekurang-kurangnya enam emas di Sukan SEA 2027 di tanah air," kata Nur Azmi menerusi kenyataan media.








