PETALING JAYA: Pelakon dan penggiat seni versatil, Arja Lee membuktikan bakat luar biasanya apabila berjaya menggalas tanggungjawab besar sebagai pengarah persembahan dan penulis skrip sempena Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA 2026) pada Oktober lalu.
Arja atau Azharudin Ramli, 43, berkata, peluang menjadi pengarah persembahan dan penulis skrip untuk acara berprestij sebegitu adalah ruang terbaik untuk dirinya mencabar kreativiti serta menguji kemahirannya sendiri.
“Saya rasa saya boleh bangga kerana menjadi insan yang bertuah. Terima kasih Ya Allah, atas peluang yang luar biasa ini.
“Niat saya cuma satu iaitu memberikan yang terbaik untuk ASA 2026, mencabar diri sendiri dan melihat sejauh mana kemahiran, pengalaman serta kreativiti saya boleh pergi,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.








