KUALA LUMPUR: PETRONAS sedang membangunkan Pusat Teknologi Geosains PETRONAS (PGTC) baharu di Putrajaya yang dijangka siap pada awal 2028 bagi memperkukuh penyimpanan, pendigitalan dan penggunaan rekod geologi bawah permukaan negara.
Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM) PETRONAS, Datuk Bacho Pilong, berkata kemudahan itu akan menggabungkan koleksi warisan geologi, maklumat yang sudah didigitalkan serta keupayaan teknologi dalam satu pusat khusus.
Beliau berkata, pembangunan PGTC baharu itu mencerminkan keperluan mempertingkatkan infrastruktur geosains negara seiring perkembangan industri minyak dan gas serta kemajuan teknologi.
Katanya, lebih 30 kilometer sampel teras batuan sudah didigitalkan menggunakan teknologi pengimejan menyerupai pengimejan resonans magnetik (MRI), termasuk sampel keratan gerudi yang dikumpulkan sejak 1940-an.








