SEREMBAN: Dua daripada tiga suspek yang ditahan kerana disyaki mendera lelaki warga emas hingga maut 4 November lalu, akan dituduh di mahkamah esok.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata kedua-dua suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian di pangsapuri di Rasah Jaya, di sini akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Berhubung perkembangan kes bunuh membabitkan seorang lelaki warga emas berkerusi roda yang tular videonya sebelum ini, dua daripada suspek akan dituduh esok.
"Kertas siasatan sudah dirujuk kepada pihak pendakwaan pada 13 November lalu. Polis mendapat arahan tuduhan terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.








