Melaka: Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengambil beberapa langkah bagi menangani gangguan haiwan liar terutama anjing di kawasan perumahan Taman Sutera Wangi Fasa 2 di sini.

Tindakan diambil termasuk menjalankan operasi menangkap haiwan berkenaan yang turut membabitkan agensi lain berkaitan.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, pihaknya memahami keresahan penduduk yang terpaksa berdepan masalah itu, malah anggota penguat kuasa sudah beberapa kali turun ke kawasan berkenaan selepas menerima aduan.

Menurutnya, operasi menangkap anjing liar dijalankan pada waktu siang dan malam bagi memastikan tindakan pencegahan lebih berkesan.