KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak meneruskan cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Negara (SKN) sebagai entiti baharu, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Sebaliknya, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi sedia ada, iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Mediator Komuniti sebagai ejen peneraju dalam mengurus keharmonian sosial.

Aaron berkata, keputusan itu dibuat selepas KPN mengadakan dua sesi libat urus membabitkan pertubuhan masyarakat sivil, agensi kerajaan, ahli akademik, pemimpin masyarakat dan pihak berkepentingan lain bagi menilai keperluan, skop, implikasi, cabaran serta kebolehlaksanaan penubuhan SKN.