TITAH Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, kelmarin, supaya pembesar, pemegang jawatan dan pemimpin menyampaikan nasihat yang benar walaupun pahit hakikatnya bukan hanya kepada mereka yang berada di Balairong Seri, Istana Iskandariah, sebaliknya merentas wilayah dan tingkat kekuasaan dari peringkat paling tinggi hingga rendah.

Ingatan sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-70 itu, sememangnya boleh disusuri hingga Musnad Ahmad dan Sahih Ibnu Hibban, sekali gus bertepatan dengan sekian banyak hadis Rasulullah SAW yang mengingatkan umat Baginda mengenai kepentingan nasihat dan kebenaran.

Dalam tradisi sufi, Mathnawi karya Maulana Jalaluddin Rumi mengisahkan dua wazir atau menteri bernama Hasan yang memberikan nasihat berbeza kepada seorang Raja apabila didatangi penyair mengharapkan ganjaran. Wazir pertama mendorong raja memberikan ganjaran lebih lumayan, manakala penggantinya mempengaruhi pemerintah supaya mengurangkan pemberian sehingga penyair terbabit akhirnya dinafikan imbuhan sewajarnya.