KETIKA berucap dalam Forum Ekonomi Belia 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menceritakan ketika berusia sekitar sembilan atau 10 tahun di Bukit Mertajam, beliau mengambil empat buah pala dari sebuah kebun tanpa kebenaran.
Apabila ditegur neneknya, Aisyah, beliau cuba memberikan alasan bahawa kebun itu milik orang Cina. Jawapan neneknya bagaimanapun amat tegas, iaitu mengambil sesuatu tanpa izin tetap mencuri, tidak kira siapa pemiliknya.
Malah, walaupun hari sudah hampir malam, Anwar disuruh memulangkan buah berkenaan. Pengalaman itu kemudiannya dirumuskan beliau sendiri dengan satu pengajaran mudah, tetapi keras, apabila menjadi Perdana Menteri, "Jangan curi dan jangan izinkan orang mencuri."









