KUALA LUMPUR – Lebih 900 usahawan dijangka menyertai Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABFGR) 2027 yang buat pertama kali melebarkan penganjurannya ke Pantai Timur, dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM35 juta.

Langkah memperluaskan festival berkenaan ke Kuantan, Pahang dilihat membuka peluang lebih besar kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran baharu, selain merancakkan aktiviti ekonomi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Penganjur Bersama ABFGR dan Tapestry by ABGR: Singgah Raya, Datin Wira Sabrina Abdullah berkata, pihaknya optimis dapat mencapai sasaran berkenaan berdasarkan pertumbuhan jualan yang direkodkan setiap tahun.

“Setiap tahun, kami melihat pertumbuhan jualan sekitar 20 hingga 25 peratus secara purata dan kami berharap momentum itu dapat diteruskan pada tahun depan,” katanya.