Batu Pahat: Daerah ini sekali lagi dilanda gempa bumi lemah dengan kekuatan 3.2 skala magnitud di Perairan Batu Pahat, tengah malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata, gempa bumi lemah itu berlaku pada jam 12.10 tengah malam iaitu kira-kira 19 kilometer (km) Barat Daya dari Batu Pahat dan 106 km Barat Laut dari Tanjung Balai-Meral, Indonesia.

Menurut MetMalaysia, gempa bumi itu berpusat pada koordinat 1.7° Utara dan 102.8° Timur dengan kedalaman 10 kilometer.

Bagaimanapun, MetMalaysia menjelaskan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan gempa terbabit.