Setiap kali banjir, ada ‘harga’ yang perlu dibayar. Keringat dan kerugian dihadapi mangsa-mangsa bencana alam ini bukan sedikit tetapi mampu menjangkau ribuan ringgit.

Perabot rosak, dokumen hilang dibawa air, barangan keperluan termasuk kenderaan terendam banjir, rumah berlumpur dan semua perlu dibersihkan.

Kerosakan ini bukan boleh selesai dalam masa sehari dua tetapi berbulan dan mungkin tahun. Wang yang perlu dikeluarkan bukan sedikit tetapi jumlah yang besar.

Seorang mangsa banjir di Kampung Melayu Subang ketika ditemui baru-baru ini mendedahkan dia kerugian kira-kira RM10,000 selepas rumah dan kenderaan ditenggelami air.