KUALA LUMPUR – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah agar sifat keberanian yang terbina bertahun-tahun tidak sama sekali digadaikan dan pendirian yang mengutamakan kebenaran tidak dilemahkan hanya kerana tawaran habuan serta imbuhan bersifat sementara.

Baginda bertitah sifat tamak dan kesilapan langkah akan mengakibatkan rakyat menjadi mangsa menanggung derita, justeru keadilan wajib ditegakkan sekalipun melibatkan kepentingan peribadi, ahli keluarga dan pihak atasan yang dianggap berkuasa.

Titah Sultan Nazrin kebenaran hendaklah dijadikan asas pendirian, manakala keberanian menjadi kekuatan untuk mempertahankannya berpandukan ilmu yang membolehkan seseorang menilai sama ada sesuatu pendirian memiliki asas kukuh atau sebaliknya.