KUALA LUMPUR: Bukan mudah mempertahankan prinsip tidak merokok apabila terpaksa bekerja dalam persekitaran yang dikelilingi perokok, namun maestro muzik, Datuk M Nasir tetap berpegang teguh pada pendiriannya demi menjaga kesihatan.

Malah, penyanyi, komposer dan penerbit muzik berusia 68 tahun itu mengakui pernah bertengkar serta memarahi individu yang merokok di sekelilingnya kerana tidak mahu terdedah kepada tabiat yang boleh menjejaskan kesihatan.

M Nasir berkata, amalan menjauhi rokok antara disiplin gaya hidup sihat yang diterapkan sejak muda, selain aktif bersukan sebelum pembabitannya dalam industri seni.

"Sebelum menceburkan diri dalam bidang hiburan, saya sangat aktif dalam sukan terutama bola sepak. Sukan lain pun saya sertai. Apabila sudah memasuki bidang hiburan, saya masih aktif bersukan, tetapi lebih kepada bersenam.